Ahad, 10 Januari 2016

MEMPELAJARI TARIKH TASRI’


“Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

Segala puji bagi ALLAH S.W.T selaku Pentadbir, Pencipta dan Pemerintah sekalian alam. Daripada-Nya kita memohon pertolongan, keampunan serta perlindungan-Nya daripada gangguan syaitan. Sesiapa yang dikurniakan hidayah oleh ALLAH S.W.T., maka mereka tidak sesat selamanya. Sesungguhnya ALLAH S.W.T. sahajalah yang selayaknya disembah dan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah pesuruh-Nya.


Masyarakat dunia mengakui bahawa undang-undang Islam merupakan suatu perundangan yang menyeluruh , sempurna dengan aspek kehidupan di dunia dan selepas mati.Hal ini telah diakui semenjak zaman awal pembentukan perundangan Islam itu lagi. Hakikat tersebut terserlah kerana perundangan Islam tidak digubal mana-mana badan mahkamah atau parlimen , bahkan ia digubal oleh Allah yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui.


Pengertian Bahasa :-

Perkataan perundangan (al-tasyri’) membawa beberapa maksud :
Antaranya :
  •  Sumber air mengalir atau mata air
  • Jalan yang lurus - jalan yang membawa kepada kebaikan kehidupan dan akal manusia 


Pengertian Istilah :-

Perkataan tasyri’ menurut istilah atau syarak bermaksud :
Antaranya :

  • Merangka peraturan - peraturan/undang-undang yang berkaitan dengan syariat Islam
  • Pembentukan & penetapan peraturan yang mana daripadanya ;
                - dapat mengetahui hukum-hukum yang berbentuk praktikal orang mukallaf
                - serta apa yang berkaitan dengan hukum & perintah terhadap mereka
  • Menjelaskan & menerangkan tentang hukum hakam
  • Membentuk peraturan-peraturan / undang-undang
Berdasarkan pengertian tersebut, Perundangan Islam merangkumi hukum-hukum ALLAH s.w.t terhadap segala perbuatan manusia samada yang berbentuk halal/haram, makruh/sunat. Iaitu segala apa yang diwahyukan oleh ALLAH s.w.t. yang disampaikan oleh Rasul-Nya yang terkandung di dalam al – Quran dan Hadis.




Terdapat beberapa keistimewaan dalam Perundangan Islam. Antaranya ialah Rabbaniyyah (Syariah itu dari Allah) , Balasan Duniawi & Ukhrawi , ‘Alamiyyah & Umumiyyah , Kekal , Syumul , Keseimbangan kebendaan & Kerohanian. Di sini akan diterangkan serba sedikit tentang setiap keistimewaan Perundangan Dalam Islam.


      1.RABBANIYYAH ( Syariah itu dari ALLAH s.w.t. )


1a. Rabbaniyaah bermaksud :-
  • hukum dan peraturan Islam ini dari ALLAH s.w.t.
  • bukan dari ciptaan manusia
  • merupakan wahyu ALLAH s.w.t. kepada Nabi Muhammad SAW
  • dengan lafaz dan maknanya iaitu ; al-Quran / makna tidak lafaz iaitu ; al-Sunnah
1b. Ciri yang membezakan perundangan duniawi :-
  • al-Quran & al-Sunnah
  • kerana ia bersumberkan manusia sedangkan perundangan Islam sumbernya pencipta itu sendiri
1c. Prinsip-prinsip Syariah dan hukum hakamnya :-
  • bersih dari sebarang kezaliman, kelemahan
  • menurut hawa nafsu kerana penciptanya ialah Allah yang mempunyai kesempurnaan mutlaq.
  • hukum syara’ juga mempunyai kehebatan dan kehormatan dalam jiwa orang-orang yang beriman dengannya
  • dihormati dan dipatuhi dengan rela hati
  • didorongi oleh jiwa yang bersih dan keimanan yang mendalam tanpa ada unsur-unsur paksaan 
1d. Contoh ;-
              - Orang Arab pada zaman jahiliah suka minum arak
          Arak juga menjadi tradisi/budaya hidup mereka seharian. Apabila Islam datang menerangkan bahawa dosa dan keburukan minum arak itu lebih besar daripada manfaatnya, kemudian diperintahkan mereka tidak melakukan solat ketika mabuk. Akhir sekali barulah turun hukum ALLAH s.w.t. yang menegaskan hukum minum arak seperti yang terkandung di dalam firman Allah yang bermaksud:
                                                               
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu Berjaya." (al-Maidah:90)

Maka kalimah yang memberi erti hendaklah kamu menjauhinya mempunyai kehebatan, kegerunan, rasa kehormatan dan mempengaruhi jiwa orang-orang Islam dengan begitu berkesan sekali sehingga mereka sanggup pecahkan tempayan-tempayan arak yang ada di rumah masing-masing dan juga di kedai-kedai arak. Inilah perundangan Islam yang diberi penghormatan dan ketaatan oleh mereka yang beriman dengannya.



       2. Balasan Duniawi & Ukhrawi

  • Syariat Islam mempunyai balasan duniawi dan ukhrawi
  • Balasan duniawi terdiri daripada ;
               - kanun jenayah
               - kanun civil
  • Balasan ukhrawi ;
                - dikenakan ke atas setiap pelanggaran hukum syara’samada :-
                      ~ amalan hati
                      ~ amalan anggota lahir bermaksud ;
- berkaitan dengan muamalat maliyyah (sivil) mahupun jenayah
- menyebabkan seseorang muslim itu dengan sendirinya akan tunduk kepada hukum                               syariat samada dalam keadaan tertutup mahupun terbuka

  • ALLAH s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
" Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah, dan siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas-batas syariat-Nya akan dimasukkan ke dalam api neraka, berkekalanlah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghinakan. "(An-Nisa:13,14)



       3. ‘Alamiyyah dan Umumiyyah

  • syariah Islamiyyah menjadi rahmat kepada seluruh alam
  • menjadi pentunjuk kepada seluruh umat manusia
  • merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat
  • bukan perundangan untuk satu jenis manusia

  • ALLAH s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
" Katakanlah wahai Muhammad: “Wahai sekalian manusia ! Sesunggunya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya ". (Al-A’raf:158)


" Dan tidaklah kami mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. " (Al-Anbia’:107)




       4. Kekal

4a. Syariat Islam
  • kekal sepanjang zaman tanpa dinasakh dan tiada perubahan
  • syariat Islam terakhir dan penutup syariat-syariat samawi
  • Nabi Muhammad adalah nabi terakhir
  • syariat Islam umum untuk seluruh manusia
  • tidak menerima sebarang pembatalan dan tukar ganti
  • hukum - hakamnya dapat mencapai kepentingan manusia sepanjang zaman dan di semua tempat dan setiap masa

4b. Al-Quran
  • sumber utama perundangan Islam
  • terpelihara sehingga hari kiamat
  •  tidak dapat diselewengkan/diubah walaupun satu kalimah

4c. Sunnah Nabawiyyah
  • sumber kedua syariah Islam
  • penjelasan bagi al –Quran
  • sebagai pelengkap bagi sistem-sistem Islam
  • sunnah nabawiyyah terpelihara sehingga akhir zaman



      5. Syumul
  • syariat Islam itu suatu system yang syumul
  • mencakupi semua urusan hidup
  • menggariskan untuk manusia jalan iman
  • menerangkan dasar-dasar aqidah
  • menyusun hubungan manusia dengan Tuhannya
  • memerintah bersihkan jiwa
  • mengatur hubungan manusia sesama  manusia
Berdasarkan kesyumulan ini ia terbahagi kepada tiga kelompok bagi hukum-hukum syariah :-
    
   Pertama: Hukum-hukum yang berkaitan dengan aqidah seperti beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perbahasan hukum ini dan kajiannya terdapat dalam ilmu al-kalam atau tauhid.

  Kedua: Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak  seperti wajib bercakap benar, amanah, menyempurnakan janji, haram berdusta, khianat, mungkir janji. Hukum-hukum akhlak ini kajiannya adalah dalam ilmu akhlak atau tasauwuf.

  Ketiga: Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkataan dan perbuatan manusia dalam hubungan mereka dengan yang lain.  Hukum amali ini dinamakan dengan al-fiqh, perbincangannya tentulah dalam ilmu fiqh. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

  • Bahagian pertama: Ibadat seperti solat, puasa dan zakat.
  • Bahagian Kedua: Adat dan muamalat yang bertujuan mengatur hubungan  manusia
Kesyumulan syariat Islam ini tidak ada bandingannya dengan undang-undang ciptaan manusia, kerana undang-undang ciptaan manusia tidak mencakupi masalah aqidah, akhlak dan ibadat.




     6. Keseimbangan kebendaan dan kerohanian

6a. Keagungan Perundangan Islam
  • tidak menjauhkan kebendaan daripada kerohanian 
  • tidak memisahkan dunia dan akhirat
  • memandang kehidupan itu sebagai satu unit yang mutakammil (lengkap melengkapi) 
  • melaksanakan hak-hak ALLAH s.w.t./ hak manusia itu sendiri/hak orang lain

6b. Syariat Islam dengan sistem yang mutakammil
  • tidak menyetujui kehidupan yang membujang/pengasingan diri daripada masyarakat
  •  
  • menganjurkan kepada manusia untuk mengimbangkan antara keadaan-keadaan tersebut supaya tidak berat sebelah ataupun meninggalkan satu tangggungjawab demi tanggungjawab yang lain
  • Al-Quran sentiasa mendorong manusia kepada sifat keseimbangan antara kebendaan dan kerohanian

  • ALLAH s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
" laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula jual beli daripada mengingati Allah dan (daripada) mendirikan solat dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang."(An - Nur : 47)

Semua asas yang diletakkan oleh Islam adalah untuk mengimbangkan kehidupan manusia antara kebendaan dan kerohanian, agama dan dunia serta ibadah dengan kehidupan agar manusia melaksanakan tugas dan menunaikan risalah dengan cara yang paling sempurna serta melakukan hak pada tempatnya dalam kehidupan.




KEPENTINGAN MEMPELAJARI TARIKH TASRI’ / PERUNDANGAN ISLAM

- Mengetahui prinsip dan tujuan syari’at Islam
- Pemahaman terhadap Islam yang komprehensif
- Sebagai bentuk penghargaan atas jasa para ulama
- Menumbuhkan rasa bangga terhadap syaria’at Islam
- Menumbuhkan motivasi dan optimis untuk mengembalikan kejayaan Islam.
- Melahirkan sikap toleransi terhadap perbezaan di antara umat Islam




KEPENTINGAN PERUNDANGAN ISLAM

> Mengawal kemahuan dan kehendak manusia dari mengikut tuntutan nafsu semata-mata
> Islam mensyariatkan undang-undang yang mampu mengawal segala perilaku manusia
> agar keamanan dan keadilan dalam masyarakat terus terjamin




KESIMPULAN

Perundangan Islam yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya mencakupi segala aspek kehidupan manusia kearah kebaikan dunia dan akhirat.Ia mempunyai keistimewaan yang tertentu yang tidak ada pada undang – undang buatan manusia.
Perundangan Islam penting untuk mengawal tindak tanduk  manusia ke arah membentuk kehidupan yang harmoni.