Ahad, 28 Februari 2016

METODOLOGI PERUNDANGAN ZAMAN NABI

Rasulullah s.a.w. telah menggunakan beberapa metod tertentu yang diikuti dalam merujuk kepada sumber perundangan. Langkah yang diikuti oleh Baginda ialah :-

Apabila Baginda berhajat kepada perundangan & penetapan hukum, Baginda menunggu penurunan wahyu yang menjelaskan hukumnya. Sebagai contoh, Berkaitan kes isteri Baginda Aisyah yang dituduh berzina dengan Sahabat bernama Safwan ibn Mu'attal. Setelah beberapa lama menanti turunlah ayat yang menjelaskan hakikat sebenarnya, sebagaimana firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚلَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖبَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚلِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚوَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar."

(SURAH AL-NUR AYAT 11)

Jika wahyu tidak diturunkan, nabi akan bermesyuarat dengan para Sahabat utama seperti : Abu Bakar dan Umar. Baginda akan bertanya pendapat mereka untuk mencari keputusan atau Allah telah mewakilkan Baginda menetapkan hukum yang diperlukan melalui ijtihad. Sekiranya ijtihad Baginda kurang tepat , ia akan dibetulkan dengan wahyu Ilahi. Sebagai contoh: - Baginda berjaya mencapai kemenangan dalam peperangan Badar dan menawan sejumlah tertentu kaum kafir di Mekah, Baginda meminta pendapat para Sahabat mengenai tawanan perang tersebut. Abu Bakar mengemukakan cadangan supaya mengambil penebus hidayah dan memeluk islam. Umar pula mencadangankan supaya semua tawanan tersebut dibunuh memandangkan perbuatan kejam mereka terhadap kaum muslimin serta demi melambangkan kekuatan islam .

Baginda cenderung dengan buah fikiran Abu Bakar, hakikatnya pendapat Umar yang lebih tepat. Perbuatan Baginda itu ditegur oleh wahyu lantaran membiarkan mereka hidup, sedangkan yang sewajarnya mereka dibunuh. Sebagaimana firman Allah :

"tidaklah patut bagi seseorang nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia ( yang tidak kekal) sedang Allah menghendaki ( untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah maha kuasa , lagi maha bijaksana."

(SURAH AL-ANFAL AYAT 67)

Kadang ketika Baginda menjelaskan kepada para Sahabat sesuatu hukum yang Baginda sendiri beramal atau penetapan hukum berbentuk sunnah amaliah. Sebagai contoh, Baginda sembahyang dengan betul & mengerjakan ibadat haji secara sempurna. Selepas itu Baginda menyuruh para Sahabat melakukannya sebagaimana yang telah dilakukan.

Keadaan lain pula sesetengah sahabat melakukan sesuatu perbuatan dan Baginda mengikrarkan apa yang dilakukan oleh para Sahabat tersebut. Seandainya ia benar Nabi akan mengakuinya ataupun menjelaskan mana yang lebih tepat kiranya apa yang dilakukan oleh Sahabat itu tidak betul.

Kesimpulannya , metodologi perundangan pada masa Baginda ialah mengeluarkan fatwa kepada para Sahabat dengan berdasarkan wahyu dan kadang kala pula dengan hadis Baginda.Oleh itu, hukum dan perundangan pada waktu itu sama ada ketetapan itu hasil ketetapan wahyu atau berdasarakan ijtihad Baginda yang kemudiannya dibetulkan oleh wahyu jika tidak tepat...

Rabu, 24 Februari 2016

PERBEZAAN PERUNDANGAN MAKKI DAN MADANI

Sudut hakikatnya ayat Makki dan Madani tidak dapat dikenali melalui penjelasan yang telah dibuat oleh para sahabat Baginda juga ulama yang muncul selepas mereka. Hal itu , kerana Baginda Rasulullah s.a.w. tidak menjelaskan secara khusus persoalan tersebut semasa hayat Baginda. Faktor ketara ia tidak berlaku kerana para Sahabat waktu itu tidak perlu kepada penjelasan Makki dan Madani lantaran mereka telah menyaksikan sendiri wahyu diturunkan kepada Baginda. Ulama telah menyatakan terdapat beberapa ciri tertentu ayat Makki dan Madani, antaranya ialah :

CIRI-CIRI AYAT MAKKI.

Antara ciri-ciri utama ayat Makki dapat dikemukakan sebagaimana berikut iaitu :-

a) Surah yang terdapat ayat menggunakan lafaz: Wahai anak Adam. Keadaan itu kerana penduduk Mekah pada waktu itu secara majoritinya masih belum beriman. Untuk itu tidak sesuai ditujukan kepada mereka dengan lafaz : Wahai orang-orang yang beriman.

b) Surah terdapat ayat Sajdah kecuali surah al-Hajj, menurut pendapat yan kukuh adalah Madani. Ulama sepakat menetapkan ayat Sajdah terdapat sebanyak 16 tempat di dalam al-Qur'an. Antara rahsianya supaya menarik dan membiasakan manusia kearah bersujud kepada Allah daripada menyembah berhala.

c) Surah terdapat kisah Nabi Adam dan Iblis kecuali surah Al-Baqarah.

d) Surah menceritakan kisah nabi dan umat terdahulu kecuali surah al-Baqarah.

e) Surah terdapat lafaz Kalla yang mana ia selaras kafir Mekah waktu itu yang bersikap keras dan angkuh. Ia dinyatakan sebanyak 33 kali dalam 15 surah. Contohnya sebagaimana firman Allah:

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ

Terjemahannya: Sedarlah wahai orang-orang yang lalai! (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.

(SURAH AL-QIYAMAH AYAT 20)

f) Surah dimulakan dengan huruf singkat , contohnya alif lam ra', kecualilah surah Al-Baqarah dan surah Ali 'Imran.

g) Ayat menerangkan aqidah yang benar serta menggesakan supaya menjauhkan daripada syirik. Antara lain juga, ayat-ayat Makki menjelaskan supaya beriman kepada Allah, sifat-sifat-Nya, Rasul-Nya, dan hari Akhirat.

h) Menjelaskan tentang akhlak mulia dan mencela perbuatan keji masyarakat Jahiliyyah, seperti: Saling berbunuhan dan menanam anak perempuan .

i) Ayat Makki kebiasaannya berbentuk pendek untuk memungkinkan Rasulullah s.a.w. serta kaum muslimin menghafaznya dengan mudah.

j) Ayat dan surah terdapat banyak lafaz sumpah.

k) Menetapkan dasar umum perundangan Islam.

CIRI-CIRI AYAT MADANI

Antara ciri-ciri ayat Madani dapat dijelaskan sebagaimana berikut :-

a) Ayat memberi keizinan berperang serta peraturan tentangnya.

b) Menceritakan perbincangan dengan Ahli Kitab dan mengajak mereka menerima Islam.

c) Surah dan ayat menyatakan tentang orang munafik , kecuali Surah al-Ankabut.

d) Surah membicarakan hukum amaliah, jenayah, hudud, pusaka juga kemasyarakatan.

e) Ayatnya panjang serta memberi keterangan yang terperinci, kecuali surah al-Nasr, al-Zalzalah dan al-Bayyinah.

f) Menjelaskan  tentang ibadat, muamalat, kekeluargaan dan hubungan antarabangsa.

g) Ayat dimulakan dengan perkataan: Wahai orang-orang yang beriman, kecuali surah al-Hajj.

PERUNDANGAN DI MEKAH DAN DI MADINAH

PERUNDANGAN DI MEKAH
~sebelum penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah
~13tahun
~tertumpu kepada keimanan,akidah,kepercayaan dan akhlak

PERUNDANGAN DI MADINAH
~selepas penghijrahan
~lebih kurang 10tahun
~konsep akidah,akhlak dan amali