Rabu, 24 Februari 2016

PERBEZAAN PERUNDANGAN MAKKI DAN MADANI

Sudut hakikatnya ayat Makki dan Madani tidak dapat dikenali melalui penjelasan yang telah dibuat oleh para sahabat Baginda juga ulama yang muncul selepas mereka. Hal itu , kerana Baginda Rasulullah s.a.w. tidak menjelaskan secara khusus persoalan tersebut semasa hayat Baginda. Faktor ketara ia tidak berlaku kerana para Sahabat waktu itu tidak perlu kepada penjelasan Makki dan Madani lantaran mereka telah menyaksikan sendiri wahyu diturunkan kepada Baginda. Ulama telah menyatakan terdapat beberapa ciri tertentu ayat Makki dan Madani, antaranya ialah :

CIRI-CIRI AYAT MAKKI.

Antara ciri-ciri utama ayat Makki dapat dikemukakan sebagaimana berikut iaitu :-

a) Surah yang terdapat ayat menggunakan lafaz: Wahai anak Adam. Keadaan itu kerana penduduk Mekah pada waktu itu secara majoritinya masih belum beriman. Untuk itu tidak sesuai ditujukan kepada mereka dengan lafaz : Wahai orang-orang yang beriman.

b) Surah terdapat ayat Sajdah kecuali surah al-Hajj, menurut pendapat yan kukuh adalah Madani. Ulama sepakat menetapkan ayat Sajdah terdapat sebanyak 16 tempat di dalam al-Qur'an. Antara rahsianya supaya menarik dan membiasakan manusia kearah bersujud kepada Allah daripada menyembah berhala.

c) Surah terdapat kisah Nabi Adam dan Iblis kecuali surah Al-Baqarah.

d) Surah menceritakan kisah nabi dan umat terdahulu kecuali surah al-Baqarah.

e) Surah terdapat lafaz Kalla yang mana ia selaras kafir Mekah waktu itu yang bersikap keras dan angkuh. Ia dinyatakan sebanyak 33 kali dalam 15 surah. Contohnya sebagaimana firman Allah:

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ

Terjemahannya: Sedarlah wahai orang-orang yang lalai! (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.

(SURAH AL-QIYAMAH AYAT 20)

f) Surah dimulakan dengan huruf singkat , contohnya alif lam ra', kecualilah surah Al-Baqarah dan surah Ali 'Imran.

g) Ayat menerangkan aqidah yang benar serta menggesakan supaya menjauhkan daripada syirik. Antara lain juga, ayat-ayat Makki menjelaskan supaya beriman kepada Allah, sifat-sifat-Nya, Rasul-Nya, dan hari Akhirat.

h) Menjelaskan tentang akhlak mulia dan mencela perbuatan keji masyarakat Jahiliyyah, seperti: Saling berbunuhan dan menanam anak perempuan .

i) Ayat Makki kebiasaannya berbentuk pendek untuk memungkinkan Rasulullah s.a.w. serta kaum muslimin menghafaznya dengan mudah.

j) Ayat dan surah terdapat banyak lafaz sumpah.

k) Menetapkan dasar umum perundangan Islam.

CIRI-CIRI AYAT MADANI

Antara ciri-ciri ayat Madani dapat dijelaskan sebagaimana berikut :-

a) Ayat memberi keizinan berperang serta peraturan tentangnya.

b) Menceritakan perbincangan dengan Ahli Kitab dan mengajak mereka menerima Islam.

c) Surah dan ayat menyatakan tentang orang munafik , kecuali Surah al-Ankabut.

d) Surah membicarakan hukum amaliah, jenayah, hudud, pusaka juga kemasyarakatan.

e) Ayatnya panjang serta memberi keterangan yang terperinci, kecuali surah al-Nasr, al-Zalzalah dan al-Bayyinah.

f) Menjelaskan  tentang ibadat, muamalat, kekeluargaan dan hubungan antarabangsa.

g) Ayat dimulakan dengan perkataan: Wahai orang-orang yang beriman, kecuali surah al-Hajj.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan